Friday, March 7, 2008

Apa yang cikgu boleh dapat melalui Internet?

Ada banyak bahan serta alatan yang cikgu boleh dapat melalui Internet. Gambar digital dan clipart boleh digunakan dalam flashcard serta nota yang cikgu sediakan untuk pelajar. Cikgu juga boleh dapatkan contoh rancangan pengajaran. Ini pasti memudahkan cikgu membuat persediaan dan mencari idea baru untuk mengajar.

Cikgu juga boleh dapatkan perisian (software) untuk uruskan kelas. Ada banyak alatan (tool) yang boleh diperolehi atau dicapai melalui Internet yang dapat membantu guru menyimpan pelbagai maklumat seperti maklumat peribadi pelajar, gred, membuat analisis markah serta berkomunikasi dengan penjaga.

Cikgu juga dapat gunakan Internet untuk menghebahkan idea yang mereka gunakan ketika mengajar. Seorang pendidik yang minat tentang kerjayanya akan sentiasa mencari kaedah baru untuk menyelesaikan masalah serta menambah baik mutu pengajaran dan pembelajaran. Ini dapat dilakukan dengan lebih tersusun melalui kajian tindakan (action research).

Cikgu boleh hebahkan hasil kajian dapatan mereka melalui laman web, iaitu dokumen yang diletakkan dalam hos sesawang (web host) yang boleh dicapai melalui Internet. Dengan cara ini, cikgu dapat berkongsi maklumat dan mendapat malum balas dari guru-guru lain.

Cikgu juga dapat menyertai senarai mel (mailing list) atau mana-mana kumpulan guru. Ada banyak kumpulan yang ada dalam Internet. Dengan menjadi ahli kumpulan, cikgu dapat baca arkib utusan yang pernah dihantar ke kumpulan tersebut. Cikgu juga dapat poskan soalan ke kumpulan sekiranya menghadapi masalah. Ada ramai pakar yang bersedia membantu cikgu dengan berhubung melalui Internet.

Sekiranya cikgu ada banyak masa yang terluang, ckgu boleh juga buka kumpulan sendiri. Ada banyak tapak sesawang yang menyediakan perkhidmatan kumpulan secara percuma.

No comments: